Sabtu, 24 Januari 2015

Rasuah makin teruk di bawah pentadbiran Najib

PIC TGN RASUAH

Roketkini.com


KUALA LUMPUR: DAP hari ini menyelar dakwaan tidak berasas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak bahawa kedudukan terkini negara dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) Transparency International (TI) merupakan prestasi terbaik sejak 10 tahun lalu.

Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang berkata, dakwaan tersebut sebenarnya jelas merupakan satu lagi taktik Najib menutup kegagalannya sendiri membasmi rasuah dan dalang utama aktiviti jenayah itu.

“Kedudukan terkini CPI 2014 memang merupakan pencapaian terbaik Najib dalam tempoh enam tahun, tetapi lebih teruk berbanding pencapaian Tun Abdullah Badawi dari 2004-2008, iaitu pada kedudukan 39 hingga 47.

“Pencapaian itu juga sebenarnya lebih teruk berbanding pentadbiran 9 tahun Mahathir (1995-2003) iaitu daripada tempat ke 23 kepada 37,” kata Kit Siang dalam satu kenyataan.

Kata Ahli Parlimen Gelang Patah itu, pentadbiran Najib tidak melakukan sebarang tangkapan terhadap ‘kepala’ pelaku rasuah, dan juga gagal meletakkan negara pada sasaran kedudukan 30 CPI pada tahun 2020.

Malah katanya, tidak mustahil pada tahun 2020 kedudukan Malaysia akan diambil alih dua negara yang menduduki tangga terbawah semasa CPI pertama pada 1995, iaitu China dan Indonesia.
“Di Indonesia sekarang ini, Presiden Joko Widodo (Jokowi) secara peribadi mengetuai kempen menentang rasuah.

“Manakala China walaupun turun empat mata dalam skor CPI tahun lalu, namun kempen menentang rasuah menunjukkan peningkatan luar biasa dalam dua dekad lalu.

“Tangkapan dan dakwaan kes rasuah terhadap ‘harimau dan buaya’ sama ada berpangkat menteri atau setara dengannya sudah menjadi perkara biasa di Indonesia dan China.

“Namun, malangnya hal ini tidak berlaku di Malaysia dibawah pentadbiran Najib,” tegasnya.
Justeru itu, Kit Siang menyeru Najib supaya lebih menunjukkan kesungguhan dalam kempen melawan merasuah dengan mengheret serta mendakwa ‘harimau dan buaya’ ke mahkamah. -Roketkini.com

Tiada ulasan: